
Selain daripada pemakanan yang seimbang dan berkhasiat, memastikan anak mendapat tidur yang berkualiti adalah antara kebimbangan utama bagi ramai ibu bapa.
Tidur memainkan peranan yang sangat penting dalam pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak.
Kanak-kanak sedang melalui fasa pertumbuhan pesat di mana badan dan otak mereka memerlukan rehat yang mencukupi untuk membaiki tisu dan mematangkan sistem saraf. Tidur yang mencukupi bukan sahaja memulihkan tenaga dan menstabilkan emosi, malah meningkatkan tumpuan, keupayaan pembelajaran dan fungsi imun tubuh. Malah, kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mendapat tidur yang cukup jarang jatuh sakit dan mempunyai daya ketahanan yang lebih kuat berbanding rakan sebaya mereka.
Yang paling penting, semasa tidur nyenyak di waktu malam, tubuh melepaskan hormon pertumbuhan pada tahap tertinggi. Membantu anak masuk ke fasa pemulihan ini dengan lancar umpama memberikan mereka “suntikan pertumbuhan senyap” — bukan sahaja membantu pertumbuhan fizikal, tetapi juga menyokong perkembangan secara menyeluruh.
Daripada perspektif TCM, tidur bukan sekadar rehat. Ia adalah masa penting di mana tubuh memelihara roh (Shen), mengatur fungsi organ dalaman (Zang-Fu), serta menambah tenaga Qi dan darah.

Kanak-kanak secara semula jadi mempunyai tenaga Yang yang kuat, namun sistem organ mereka masih belum matang dan masih dalam proses perkembangan. Tidur yang cukup membantu mengimbangkan Yin dan Yang, melancarkan aliran Qi dan darah, serta mewujudkan ketenangan tubuh dan emosi.
Cadangan tempoh tidur untuk kanak-kanak
Menurut sains tidur moden, tidur berlaku dalam kitaran yang berulang dan terdiri daripada dua fasa utama:
- Tidur Tanpa Pergerakan Mata Pantas (Non-Rapid Eye Movement / NREM)
- Tidur Pergerakan Mata Pantas (Rapid Eye Movement / REM)
Fasa tidur NREM terbahagi kepada tiga peringkat:
N1: Tidur Ringan
Fasa awal tidur, mudah terjaga

N2: Tidur Separa Nyenyak
Merangkumi sekitar separuh daripada jumlah tidur; aktiviti otak menurun, otot mula rileks

N3: Tidur Nyenyak
Fasa paling memulihkan — hormon pertumbuhan dilepaskan pada tahap tertinggi, penting untuk perkembangan fizikal.

Selepas selesai semua fasa NREM, tidur akan memasuki fasa REM, di mana aktiviti otak menjadi sangat aktif. Bagi kanak-kanak, ini adalah masa utama mereka bermimpi — satu proses penting untuk pengurusan emosi, perkembangan kognitif dan pengukuhan ingatan.

Satu kitaran tidur lengkap , termasuk NREM dan REM, biasanya berlangsung selama 90 hingga 120 minit, dan kanak-kanak akan melalui kira-kira 4 hingga 6 kitaran setiap malam.
Bayi pula mempunyai tidur yang lebih kerap terganggu, dan REM mengambil bahagian yang lebih besar, kadangkala sehingga 50% daripada jumlah masa tidur. Semakin mereka membesar, bahagian REM berkurangan dan tidur nyenyak menjadi lebih stabil dan dominan.
Menurut Akademi Perubatan Tidur Amerika (AASM), berikut ialah jumlah tidur harian yang disarankan mengikut peringkat umur (termasuk tidur siang):
| Peringkat umur | Jumlah Tidur Disyorkan |
| 4–12 bulan (bayi) | 12- 16 jam (termasuk tidur siang) |
| 1–2 tahun (kanak-kanak kecil) | 11-14 jam (termasuk tidur siang) |
| 3–5 tahun(pra-sekolah) | 10-13 jam (termasuk tidur siang) |
| 6–12 tahun (sekolah rendah) | 9-12 jam |
| 13–18 tahun (remaja) | 8-10 jam |

Bagaimana Nak Tahu Anak Anda Cukup Tidur?
Ibu bapa boleh perhatikan beberapa petunjuk berikut:
1. Rutin waktu tidur yang lancar:
Anak boleh tidur secara semula jadi dalam masa kira-kira 20 minit — tanpa bantahan berlebihan atau melengah-lengahkan masa tidur.
1. Tidur malam yang stabil:
Tidur sepanjang malam adalah agak nyenyak. Jika terjaga, mereka boleh tidur semula dengan mudah. Tiada tanda seperti bunyi pernafasan yang kuat, pernafasan terganggu, atau ketidakselesaan semasa tidur
3. Cukup masa tidur
Jumlah masa tidur anak anda berada dalam julat yang disyorkan mengikut umur.
4. Cergas dan fokus waktu siang
Anak bangun pagi dengan segar, tidak mengantuk atau mudah merajuk, dan boleh memberi tumpuan serta mengawal emosi dengan baik sepanjang hari.

Tidur memang salah satu cara paling senyap , tetapi paling penting untuk anak membesar.
Ibu bapa mungkin tidak dapat memastikan setiap malam anak mereka berjalan dengan sempurna, tetapi dengan kehadiran yang lembut, perhatian yang teliti, dan pelarasan secara berperingkat, kita boleh bantu anak temui ritma tidur yang paling sesuai untuk mereka.
Jika anak anda sering sukar tidur, kerap terjaga, atau nampak letih waktu siang,itu tidak semestinya tanda ada yang “tak kena”. Kadang-kadang, itu cuma cara tubuhnya berkata:
“Saya perlukan sedikit lagi perhatian dan kasih sayang.”
Dalam perspektif Perubatan Tradisional Cina, banyak perkara tidak perlu dirawat — tapi boleh diseimbangkan dan dipupuk secara lembut.
Rutin yang konsisten, pendampingan yang penuh kasih, makanan berkhasiat, dan kestabilan emosi — semuanya adalah cara-cara tenang untuk bantu anak tidur lena, membesar sihat, dan berkembang dari dalam.
此文章还有以下语言版本:
简体中文 (Chinese (Simplified))
English


